MITEC Diperakui ISO 22000:2018

Penerimaan Sijil Keselamatan Makanan Bagi Pusat Dagangan dan Pameran Terbesar

Pengarah Operasi, Mark Enslin (tengah) dan Chef Eksekutif, Chiew Chee Mun (kanan) bersama pasukannya menunjukkan sijil ISO 22000:2018 dan HACCP yang baru diterima.

KUALA LUMPUR, 29 January 2020

Meskipun baru dua tahun beroperasi, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) baru-baru ini menerima sijil keselamatan makanan sekali gus menjadi penyedia pusat pameran dan perdagangan antarabangsa pertama dalam negara mendapat pengiktirafan ISO 22000:2018.

Tidak ketinggalan, MITEC meraih kejayaan berganda apabila turut merangkul pengiktirafan Pensijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Pengiktirafan berkenaan secara rasmi diberikan kepada MITEC selepas menjalani sesi audit yang dikelola oleh SGS iaitu sebuah organisasi yang mendominasi bidang pemeriksaan, pengesahan, ujian dan pensijilan di peringkat antarabangsa.

SGS mempunyai lebih 2,600 rangkaian pejabat termasuk makmal di seluruh dunia dan sudah dikenali sebagai sebuah badan yang dipercayai dalam soal pengiktirafan kualiti dan intergriti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MITEC, Gunther Beissel, kejayaan tersebut merupakan satu peristiwa bermakna bagi seluruh warga kerja MITEC dan menjadi titik tolak untuk melonjak kedudukan MITEC pada paras lebih tinggi dalam industri sedia ada.

“Dalam tempoh dua tahun, kami (MITEC) berjaya meraih kejayaan ini dan sudah semestinya ia menjadi pencetus semangat bagi kami untuk terus meningkatkan daya saing dengan menawarkan perkhidmatan berkualiti dan bertaraf dunia kepada setiap pelanggan.

“Umum perlu mengetahui bahawa ISO 22000:2018 merupakan satu sistem pengurusan keselamatan global yang mewajibkan pemegang sijil mengawal selia setiap peringkat penyediaan makanan daripada peringkat awal sehingga akhir dan memastikan semuanya bersih dan selamat.

“Selain itu, sijil yang baru kami terima ini juga adalah piawaian yang terkini bagi menggantikan piawaian terdahulu iaitu ISO 22000:2005,” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan HACCP pula tidak asing lagi di peringkat antarabangsa apabila penerima sijil perlu mengamalkan pendekatan pencegahan secara sistematik terhadap tahap keselamatan makanan merangkumi semua peringkat (pemilihan makanan, penyediaan dan proses pengeluaran).

Beissel juga memberitahu, kejayaan itu juga telah membuktikan MITEC bergerak dalam sebuah pasukan yang mantap apabila tidak berkompromi dalam soal komitmen dan meletakkan kepuasan pelanggan sebagai penanda aras.

“Pengiktirafan ISO 22000:2018 dan HACCP diberikan kepada MITEC berasaskan empat teras yang telah ditetapkan iaitu penerimaan bahan makanan, penyimpanan, penyediaan dan menghidangkan makanan serta minuman sama ada dalam bentuk jamuan mahupun di kiosk,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Beissel berkata, setakat ini MITEC semakin mendapat kepercayaan para pelanggan dalam dan luar negara bukan hanya kerana penerimaan sijil ISO 22000:2018 dan HACCP tetapi dilengkapkan lagi dengan sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.

Hubungi Kami

* Wajib diisi

mitec-diperakui-iso-22000-2018-mitec